2010 adalah tahun permulaan baru untuk Malaysia. Ia adalah tahun kerajaan melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan selanjutnya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang kedua-duanya bertujuan mengubah masa depan negara ini secara signifikan. Dengan hanya berbaki sembilan tahun saja lagi sebelum menjelangnya Wawasan 2020, kami sudah menggerakkan usaha membawa perubahan dan melonjak-kan Malaysia menjadi sebuah negara maju. Kami telah memulakan GTP dan dengan segera menggerak laju ke hadapan pada kepantasan yang bukan menjadi kebiasaan bagi kerajaan.
Matlamat kami hanyalah untuk membuahkan hasil yang besar lagi ketara sepantas mungkin dan sesungguhnya, itulah yang telah kami lakukan. GTP adalah berkaitan dengan pembinaan masa depan bagi segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira siapa, apa dan di mana juga mereka berada. Ia juga berkenaan dengan pautan pada harapan bahawa kita benar-benar akan dapat menjadi bangsa yang lebih mulia, lebih penyayang dan lebih harmoni.
Di samping itu GTP juga mempunyai hubungan dengan usaha membina masa depan yang mapan, iaitu semua rakyat Malaysia berpeluang menikmati manfaat daripada kualiti hidup lebih baik, tahap perkhidmatan yang amat berkesan dan cekap serta ekonomi yang berkembang maju dan berdaya saing pada peringkat global.Dengan menggerakkan inisiatif, antara lain seperti menyediakan peluang pendidikan kepada semua rakyat di seluruh pelosok negara, pembinaan infrastruktur asas di kawasan luar bandar dan juga penambahbaikan pengangkutan awam bandar di Lembah Klang, kita sebenarnya sudah mengorak langkah awal untuk memberikan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Hal ini bukanlah tugas yang mudah kerana terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi, namun kerajaan bertekad untuk mewujudkan batu asas yang teguh lagi mapan yang akan memberi harapan serta masa depan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Sewaktu GTP mula diperkenalkan, banyak persoalan dikemukakan mengenai konsep pelaksanaan keseluruhan GTP. Justeru, PEMANDU dibentuk dan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan GTP selain memudahkan serta menyokong pelaksanaan kedua-dua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).
Kami tidak mungkin memperoleh apa yang dicapai pada 2010 tanpa keazaman dan iltizam tinggi pelbagai kementerian dan seluruh jentera kerajaan yang bekerjasama secara erat dengan sektor swasta dan juga rakyat.Keterbukaan, semangat berpasukan, kerjasama erat, iaitu sebagai penyelesaian bagi mengelakkan pelaksanaan kerja secara bersendirian selain dialog secara berterusan adalah prasyarat penting bagi kejayaan yang diraih.Kami berasa rendah hati dan pada masa sama, sangat teruja menyaksikan sedemikian banyak kumpulan yang amat berbeza yang memperlihat kesanggupan untuk bergabung tenaga demi menghasilkan kejayaan yang gah lagi mengagumkan bagi tahun pertama pelaksanaan GTP.
Kami amat bersyukur dengan kemajuan dicapai oleh enam NKRA yang digerakkan oleh setiap kementerian dan disokong oleh banyak pihak. Komitmen ditunjukkan setiap kementerian serta hasil yang dikemukakan dalam laporan tahunan ini agak luar biasa jika dibandingkan dengan tempoh singkat diberikan kepada kami bagi menyempurnakan semua tugas yang telah berjaya dilaksanakan. Sebagaimana dijanjikan ketika pelancaran Pelan Hala Tuju GTP pada awal 2010, laporan tahunan ini menyatakan dengan jelas Prestasi Utama Nasional (NKPI) bagi kementerian-kementerian yang bertanggungjawab terhadap NKRA serta pelbagai kejayaan dan pencapaian mereka sehingga kini.
Laporan ini juga memberi sorotan terhadap cabaran dihadapi, misalnya bagaimana NKRA mengalami kesulitan atau kekurangan tertentu, meskipun kami telah sedaya upaya berusaha memberikan yang terbaik. Laporan ini juga menilai semula pengajaran penting dipelajari sepanjang 2010 dan merakamkan komitmen kami untuk melangkah ke tahap GTP berikutnya. Secara keseluruhannya, Laporan Tahunan GTP yang pertama ini adalah gambaran sesuai mengenai evolusi pantas Malaysia sepanjang tempoh setahun.
Dengan melangkah maju ke 2011, kami berazam melakukan pembaikan secara berterusan dan menetapkan sasaran lebih tinggi untuk dicapai. Meskipun kami berjaya menerobos banyak bidang, masih banyak lagi usaha penting yang harus dilakukan. Dalam usaha kita berpadu tenaga membawa perubahan positif terhadap negara yang tercinta ini, kami percaya semua pihak yang berkepentingan akan turut memberi sokongan padu. Kami tetap beriltizam berganding bahu dengan segenap lapisan rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama mahupun juga status sosial demi masa depan lebih baik, selaras dengan prinsip 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.’
Dalam debaran menanti tahun depan yang lebih mencabar dan dengan sasaran yang lebih tinggi untuk dicapai, kami tetap berasa yakin bahawa kami berkeupayaan mengotakan semua janji yang diberikan.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Timbalan
Perdana Menteri
No comments:
Post a Comment