Monday, March 28, 2011

PM: 'Kita di landasan terbaik capai Wawasan 2020'

BAGI pihak Kerajaan Malaysia, saya amat berbesar hati dan berasa bertuah untuk berkongsi prestasi dan kemajuan dicapai oleh Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama-sama dengan anda.


Pada 2010, kita memutuskan untuk menghadapi cabaran yang amat sukar, iaitu menggerakkan Malaysia ke hadapan dengan cara yang belum pernah dilaksanakan sebelumnya. Bagi mencapai matlamat ini, kita telah memulakan GTP, program nekad untuk mentransformasikan secara radikal cara bekerja kerajaan agar dapat menghasilkan penyelesaian sebenar bagi isu-isu sebenar supaya kita dapat mara dengan langkah lebih teguh sebagai sebuah negara.


GTP diwujudkan berasaskan keprihatinan rakyat mengenai beberapa isu utama yang melanda negara. Sebagai sebuah pelan hala tuju yang mensasarkan peningkatan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, tumpuan GTP adalah untuk mempercepat penyampaian hasil-hasil ketara yang dapat dirasai dan dialami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.Pelan hala tuju ini menjelaskan program secara terperinci dan tertumpu, dengan himpunan inisiatif tertentu dan bukan hanya sekadar satu rancangan makro semata-mata. Keseluruhan program ini berlandaskan premis bagi komitmen kerajaan di bawah sepanduk 1Malaysia “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.Terdapat enam tonggak atau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam GTP berdasarkan perhatian rakyat yang paling mendesak, iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar serta mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar. Untuk mencapai NKRA ini dan menanganinya dengan penuh keyakinan dan dedikasi yang tidak henti-henti untuk mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi, moden, makmur dan aman adalah matlamat kami, sejajar dengan semangat 1 Malaysia. Matlamat kita adalah untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial. Laporan tahunan pertama GTP ini membuat penilaian terhadap semua yang berlaku pada Tahun 1 - Fasa 1 (2010-2012) GTP. Ia menonjolkan banyak kejayaan dicapai selain kelemahan yang ada, pengajaran penting yang dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2020.


Dalam melaksanakan GTP, kita telah mendengar dan mengadakan dialog dengan rakyat, membuka mata untuk melihat pelbagai perkara demi mencapai maksudnya yang sebenar dan menggariskan siri tindakan positif serta melaksanakan penyelesaian yang ketara secara agresif.Setahun lebih sudah berlalu, sama ada di sebalik tabir mahupun jelas pada pandangan mata rakyat, GTP sudah memperlihat kejayaan ketara dalam semua bidang NKRA. Sudah menjadi kelaziman, beberapa bidang menunjukkan kemajuan lebih besar berbanding dengan yang lain, namun itulah hakikatnya bagi mana-mana program berskala besar. Apa yang penting dalam pencapaian tahun pertama GTP ini ialah ia telah membawa bersama-sama dengannya angin perubahan yang melanda keseluruhan jentera kerajaan. Ia menyalakan minat dan kesungguhan baru kakitangan awam serta memberi cabaran kepada mereka yang lain untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.Setelah berlalunya tempoh setahun pelaksanaan, tibalah masanya untuk kita membentangkan hasil semua inisiatif kita. Dengan bangganya saya ingin menyatakan bahawa GTP yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri memberi banyak hasil yang positif.


GTP melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih sebelumnya yang secara langsung atau juga tidak langsung, meningkatkan taraf kehidupan jutaan rakyat. Kita juga telah meneroka ufuk baru dan kini berada di ambang kejayaan lebih besar lagi. Bagaimanapun kita juga menyedari bahawa kemenangan belum dapat diisytiharkan selagi matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju masih belum tercapai. Oleh yang demikian, kita akan terus berusaha dengan menetapkan sasaran lebih tinggi untuk kita bergerak maju ke hadapan.Kebanyakan sasaran ditetapkan di bawah GTP adalah besar dan ia dibentuk melalui proses usaha sama antara kumpulan cerdik pandai terbaik dalam sektor kerajaan dan juga swasta. Dalam usaha memenuhi hasrat rakyat, kita telah membuktikan bahawa kerajaan sentiasa beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan hasil positif.Kejayaan dicapai ini juga diakui pihak ketiga yang terkenal dan bebas, termasuk pakar antarabangsa yang berwibawa daripada organisasi bereputasi baik. Pengesahan dan keyakinan diberikan mereka, mengukuhkan lagi usaha kita dalam tempoh setahun ini.Meskipun GTP pastinya tidak sunyi daripada kesangsian dan kritikan segelintir pihak, siapalah yang lebih baik daripada rakyat sendiri yang selayaknya menghakimi prestasi dan kemajuan dicapai oleh kami.


Kita percaya dokumen Laporan Tahunan GTP yang pertama ini menjadi bukti yang menunjukkan betapa Kerajaan Malaysia gigih berkhidmat untuk rakyat dan memacu usaha yang banyak bagi membawa perubahan kepada negara kita.Sebagaimana dijanjikan, keseluruhan prestasi GTP dan NKRA untuk 2010 disiarkan untuk tatapan umum tanpa sebarang prasangka. Dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan, kerajaan berhasrat untuk berkongsi segala kisahnya dengan pihak berkepentingan, sama ada ia berkaitan dengan kejayaan, kekurangan, rintangan mahupun pengajaran bermakna yang dipelajari sepanjang proses terbabit.Saya berasa yakin melalui Pelan Hala Tuju GTP, NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berasaskan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRIs) serta sedemikian banyak inisiatif lain, kita pada hakikatnya, telah pun berada pada landasan terbaik untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020.


Tidak dinafikan perjalanan pada masa hadapan akan lebih mencabar, malah mungkin mengatasi cabaran yang dihadapi tahun lalu, namun kita mampu malah bersedia dan sanggup memikul tugas menjuarai usaha membawa hasil yang ketara lagi bermakna kepada rakyat.Melangkah penuh yakin ke hadapan, GTP akan terus mengenal pasti dengan jitu masalah sebenar dan menyampaikan penyelesaian ketara bertujuan mentransformasikan negara yang tercinta ini dan memberikan impak kepada rakyat, tanpa mengira siapa, apa dan di mana juga mereka berada. Dalam kita mengorak langkah yang gagah ke hadapan bersama-sama sebagai negara yang bersatu, saya ingin memberikan kepastian di sini bahawa tiada seorang pun warga Malaysia yang akan diabaikan atau dibiarkan ketinggalan.



DATUK SERI MOHD NAJIB ABDUL RAZAK

Perdana Menteri Malaysia

No comments:

Post a Comment