SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya tidak leka dengan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini, sebaliknya lebih bekerja keras bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang akan terlaksana.
Katanya, selaku pemimpin BN, amanah itu perlu dipikul oleh setiap pemimpin menerusi kerjasama serta kerja keras dalam memantau semua program dan projek pembangunan yang dirancang kerajaan sekaligus menjamin ia memberi manfaat besar kepada rakyat di negeri ini.
“Semua pemimpin perlu berusaha memastikan setiap program dan projek pembangunan yang telah dijanjikan kepada rakyat akan terlaksana selain berusaha memperjelaskan setiap perancangan kerajaan pada masa akan datang. “Kita perlu buktikan kepada rakyat terutama pengundi di Parlimen Batu Sapi bahawa ia adalah kebaikan memilih calon BN kerana boleh membawa banyak perubahan dan pembangunan kepada rakyat supaya mereka boleh menikmati hidup yang lebih selesa, aman dan sentosa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidiladha dan Majlis Kesyukuran sempena dengan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, di Dewan Masyarakat, di sini, kelmarin. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris, Adun Elopura, Au Kam Wah dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong.
Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, pengundi di Batu Sapi telah membuat pilihan tepat dengan memilih calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin untuk ditempatkan dalam kerusi Parlimen Batu Sapi. Katanya, Linda yang juga berasal dari daerah ini dapat menyambung perjuangan suaminya, mendiang Edmund Chong Ket Wah dalam usaha membangunkan kawasan Batu Sapi. “Beliau (Linda) berasal dari kawasan ini dan dapat memastikan pembangunan yang dirancang di kawasan Batu Sapi berjalan baik dan boleh memberi manfaat kepada rakyat. “Ia berbeza dengan pembangkang yang hanya berjanji memberi pembangunan kepada rakyat semasa kempen tetapi selepas pilihan raya tidak turun ke kawasan dan meninggalkan rakyat bersendirian,” katanya.
Musa turut mahu supaya semua pihak termasuk rakyat akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada BN dalam memastikan usaha melestarikan pembangunan khususnya di kawasan Batu Sapi akan dapat dicapai. Jelasnya lagi, sudah tiba masanya semua pemimpin perlu berusaha dan bekerja keras untuk menunaikan janji terhadap rakyat menerusi pembangunan dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat dan mengambil masa. Sementara itu, Linda yang kini Ahli Parlimen Batu Sapi berjanji akan meneruskan pembangunan di kawasan terbabit dengan menumpukan usaha terhadap memenuhi keperluan infrastruktur penduduk yang belum dilaksanakan.
Katanya, tumpuan turut diberi ke atas masalah dihadapi rakyat di kawasan berkenaan dan menjadikan sokongan daripada semua pengundi serta pemimpin sebagai dorongan untuk menjadikan kawasannya lebih maju pada masa akan datang.
Ingatan Ketua Menteri ini adalah untuk semua parti komponen BN, khususnya di Sabah. Beliau mahu agar usaha membela nasib rakyat diteruskan dan diperkasakan.
ReplyDelete